Lahad Datu: Seorang pemandu lori cedera parah selepas tersepit, manakala dua lagi lelaki cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan lori tiga tan dan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton di Kampung Damai, tengah hari tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 12.42 tengah hari.
Susulan itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dengan dua jentera sebuah LFRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 5 kilometer.
Komander Operasi, PBK II Mohd Noor Asri berkata, setiba di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki berusia 41 tahun tersepit di dalam lori sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba.
“Dua lagi mangsa lelaki, masing-masing berusia 19 dan 15 tahun yang menaiki Triton, berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama pasukan EMRS di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM serta jentera EMRS,” katanya.
Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan pada jam 1.48 petang selepas keadaan terkawal dan tiada bahaya lain ditemui.
