KOTA KINABALU: Seramai 4,933 mahasiswa baharu mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan menjadi keluarga baharu kampus itu bagi sesi akademik 2026/2027, menandakan permulaan kehidupan mereka sebagai warga universiti berkenaan.
Kehadiran mahasiswa baharu itu diraikan menerusi Majlis Pembukaan Majlis Suai Mesra (MSM) yang berlangsung meriah di Dewan Canselor UMS, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansur.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan mahasiswa, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS turut melancarkan Student Digital Information Center (SDIC) dan My Student Development Point (MyDSP 2.0).
Kedua-dua inisiatif itu bertujuan memperkasa akses mahasiswa kepada maklumat, perkhidmatan serta peluang pembangunan kendiri secara lebih bersepadu.
Pada majlis sama, UMS memperkukuh komitmennya terhadap kebajikan mahasiswa menerusi Inisiatif Bantuan Food Bank UMS dengan menyalurkan RM2,000 kepada setiap fakulti dan kolej kediaman.
Bantuan itu turut merangkumi UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) dan Fakulti Pertanian Lestari (FPL) di Sandakan.
Sumbangan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) itu bertujuan membantu mahasiswa yang menghadapi kekangan kewangan serta cabaran kos sara hidup, khususnya untuk mendapatkan makanan harian.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen UMS untuk mewujudkan persekitaran kampus yang inklusif, prihatin dan berteraskan kesejahteraan mahasiswa supaya keperluan asas tidak menjadi penghalang kepada kelangsungan pengajian mereka.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr Raman Noordin; Pengarah JHEP, Azmi Jumat; barisan pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA); timbalan-timbalan dekan HEPA; pengetua kolej kediaman serta pegawai HEPA UMS.
