Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner hari ini mendedahkan keterangan saksi kanak-kanak yang menyatakan arwah menangis dan menjerit menafikan tuduhan mencuri selepas disiasat di dorm lain pada malam 15 Julai 2025.
Peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri, berkata, saksi pertama yang selesai memberi keterangan memberitahu mahkamah bahawa Zara dipanggil bersama seorang lagi pelajar Tingkatan 1 oleh senior untuk disoal siasat mengenai kes kecurian.
“Selepas siasatan itu, Zara masuk ke dormnya semula dan menangis dengan kuat sambil menjerit menafikan dia mencuri. Semua ahli dorm melihat keadaan Zara ketika itu, namun tiada seorang pun cuba menenangkan atau memujuknya,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding hari ke-12.
Menurut keterangan saksi katanya, insiden itu berlaku sekitar jam 9 hingga 10 malam.
Selepas itu, saksi tidak lagi melihat Zara kerana dia tertidur, tetapi menegaskan semua ahli dorm menyaksikan reaksi emosional arwah yang menafikan penglibatan dalam kecurian tersebut.
Shahlan turut memaklumkan saksi kedua kanak-kanak akan menyambung keterangannya esok, dengan dijangka sehingga tiga saksi kanak-kanak tampil memberi keterangan.
Katanya, saksi pertama hadir ditemani ayahnya manakala saksi kedua didampingi ibu.
“Walaupun ada keterangan yang kami kurang berpuas hati, tetapi secara keseluruhannya kami berpuas hati kerana jelas selepas siasatan, Zara keluar dari dorm dalam keadaan menangis di lantai dan berteriak menafikan penglibatannya dalam kes kecurian itu,” tegasnya.
Untuk rekod, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai kira-kira jam 3 pagi, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga.
Zara kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada 17 Julai jam 1.07 tengah hari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.
