KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Sepang, Datuk Noorazli Said memohon maaf kepada penganut Kristian dan mana-mana pihak yang tersinggung susulan kisah berunsur seksual membabitkan paderi Katolik, biarawati dan rujukan keagamaan yang disampaikannya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Noorazli berkata, kisah itu digunakan semata-mata sebagai analogi untuk menyampaikan pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
“Ia sama sekali tidak dimaksudkan untuk menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa penggunaan cerita yang menyentuh figura atau rujukan keagamaan boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama serta kepercayaan.
“Sekiranya penyampaian saya itu telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, saya dengan penuh rendah hati memohon maaf,” katanya.
Noorazli turut menerima perkara itu sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih analogi dan menyampaikan pandangan pada masa hadapan.
“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.
Beliau berharap penjelasan berkenaan dapat meredakan salah faham yang timbul dan semua pihak dapat terus memelihara keharmonian serta semangat saling menghormati antara satu sama lain.
