KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mendesak Ketua UMNO Sepang, Datuk Noorazli Said memohon maaf secara terbuka susulan jenaka berunsur seksual membabitkan paderi Katolik, biarawati dan rujukan kepada Mazmur pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Madius berkata, Kitab Suci dan tokoh agama tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sebuah parti politik utama negara.
“Kitab Suci, paderi Katolik dan biarawati tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sebuah parti politik utama negara,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sama ada ucapan itu dimaksudkan sebagai jenaka atau sindiran, ia tetap tidak wajar kerana menyinggung perasaan umat Katolik dan masyarakat Kristian di seluruh negara.
Beliau turut mendakwa rujukan terhadap Mazmur 129 yang digunakan dalam jenaka berkenaan adalah palsu dan perlu ditarik balik.
“Penceramah berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” katanya.
Pendirian Madius itu turut disokong Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah.
“Saya bersetuju sepenuhnya dengan pendirian Madius Tangau berhubung kenyataan tidak wajar yang dibuat oleh pemimpin UMNO Sepang ketika Perhimpunan Agung UMNO.
“Apa pun niatnya, jenaka berunsur seksual yang melibatkan biarawati dan paderi Katolik adalah tidak boleh diterima. Agama dan tokoh agama mesti sentiasa dihormati,” katanya.
Salleh berkata, Noorazli wajar memohon maaf secara terbuka dan ikhlas kerana perkara itu bukan berkaitan politik, sebaliknya menyentuh soal rasa hormat, tanggungjawab dan batas yang tidak sepatutnya dilanggar.
Beliau turut mengingatkan bahawa umat Islam, Kristian dan penganut agama lain di Sabah sudah sekian lama hidup bersama dalam suasana saling menghormati.
“Semangat toleransi dan keharmonian ini mesti terus kita pelihara.
“Apabila sesuatu itu salah, kita mesti berani menyatakan bahawa ia salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya.
Terdahulu, Noorazli yang juga Bendahari UMNO Selangor menyampaikan kisah mengenai seorang paderi yang memandu kereta bersama seorang biarawati ketika berucap di hadapan ribuan perwakilan dan penyokong parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Dalam kisah itu, tangan paderi berkenaan dikatakan beberapa kali tersentuh paha biarawati ketika menukar gear sebelum biarawati tersebut memintanya merujuk kepada Mazmur 129.
“Tuan-tuan nak tahu apa Surah Mazmur ayat ke-129 ini cakap?” kata Noorazli sebelum menyebut dalam bahasa Inggeris, “Go forth and seek further up and you will find glory.”
Beliau kemudian menterjemahkannya sebagai: “Teruskan usahamu kerana semakin ke atas semakin dekatlah kamu dengan kejayaan.”
“Justeru, apa yang saya mahu beritahu daripada cerita ini ialah kita mesti fokus dan kita kena tahu apa yang kita mahu buat,” katanya dalam ucapan yang disambut dengan ketawa hadirin.
