Mauro Mohon Maaf Kepada Rakyat Sabah, Dikompaun RM25,000 Ceroboh Gunung Kinabalu
KOTA KINABALU: Pendaki warga Croatia, Mauro Persic memohon maaf kepada rakyat Sabah yang berasa tersinggung dengan tindakannya yang bertindak mendaki Gunung Kinabalu tanpa permit baru-baru ini, sambil menegaskan beliau tidak pernah berniat untuk tidak menghormati masyarakat, budaya mahupun kesucian gunung berkenaan.
Mauro, 46, menerusi kenyataan di laman Facebooknya baru-baru ini berkata, beliau amat menghargai layanan masyarakat Sabah sepanjang berada di negeri ini dan hanya mempunyai perkara baik untuk diperkatakan mengenai mereka.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua rakyat Sabah yang merasakan bahawa saya telah bersikap tidak menghormati mereka.
“Saya sama sekali tidak berniat untuk tidak menghormati masyarakat, budaya mahupun gunung ini. Rakyat Sabah telah melayan saya seperti salah seorang daripada mereka dan saya hanya mempunyai kata-kata pujian untuk mereka,” katanya.
Mauro turut menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menceroboh atau mengelak daripada membayar bayaran masuk ketika melakukan pendakian berkenaan.
Menurutnya, keinginan untuk meneroka keindahan Gunung Kinabalu tercetus secara spontan sebaik melihat gunung itu, sebagaimana pernah dilakukannya ketika meneroka beberapa lokasi lain di seluruh dunia.
“Saya melakukannya secara spontan dan tidak memberikan pemikiran serta pertimbangan yang secukupnya. Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf atas perkara ini,” katanya.
Pada masa sama, Mauro mendakwa beliau tetap menjaga alam sekitar sepanjang berada di kawasan berkenaan dengan tidak meninggalkan sebarang kesan.
Beliau juga berkata tidak mendaki ke puncak-puncak utama sebagai tanda menghormati nilai kesucian Gunung Kinabalu kepada masyarakat Kadazan-Dusun.
Mauro turut menolak tanggapan bahawa beliau telah ‘menakluki’ Gunung Kinabalu, sambil menyifatkan konsep menakluki sesebuah gunung sebagai sesuatu yang tidak tepat.
“Kita mungkin hanya menghabiskan masa yang singkat di sesuatu puncak, tetapi gunung itu akan kekal berada di situ lama selepas kita tiada. Lagipun, mengapa kita perlu menaklukinya?” katanya.
Susulan itu, Mauro turut dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM25,000 dan sudah menjelaskan bayaran kompaun berkenaan selepas anggota penguat kuasa Taman Sabah memberi taklimat mengenai kesalahan serta peruntukan dan hukuman di bawah Enakmen Taman 1984 (Pindaan 2024).
Terdahulu, Mauro menjadi perhatian selepas dilaporkan terjatuh di kawasan tebing curam Gunung Kinabalu pada 5 September lalu, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan susulan panggilan kecemasan pada jam 5.10 petang.
Operasi selama lima hari itu berakhir pada 10 September apabila Mauro berjaya dibawa turun dan tiba di Pintu Timpohon pada jam 7.06 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Rantey Fred dilaporkan berkata, Mauro mengalami kecederaan pada kaki dan tulang rusuk kanan serta luka ringan di tangan.
Mauro terdahulu dilaporkan melakukan pendakian Gunung Kinabalu tanpa permit dan menggunakan laluan selain laluan pendakian biasa sebelum insiden berkenaan berlaku.
