Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner pada Selasa (23 Sept) menyaksikan pendedahan oleh saksi Pelajar A, apabila dia memaklumkan bahawa dirinya juga pernah menjadi mangsa buli di sekolah, namun pihak sekolah tidak mengambil sebarang tindakan meskipun aduan rasmi telah dibuat oleh ibunya.
Peguamnya, Joan Goh, ketika ditemui media selepas prosiding hari ke-12 berkata, anak guamnya menjelaskan bahawa ibunya pernah menulis surat rasmi kepada pihak sekolah mengenai kejadian itu, namun tiada tindakan susulan.
“Dia telah memberitahu ibunya dan ibunya juga sudah memaklumkan kepada pihak sekolah dengan menulis surat rasmi, namun tiada sebarang tindakan diambil.
“Selepas beberapa ketika, dia merasakan tiada gunanya lagi untuk terus memberitahu pihak sekolah kerana tiada apa-apa yang akan dilakukan dan akhirnya terpaksa menanggung sendiri.
“Dia turut menggambarkan bagaimana dirinya, dalam konteks perasaannya, telah dihukum semasa waktu pembelajaran akibat daripada aduan yang dibuat oleh ibunya,” katanya.
Selain menceritakan pengalaman peribadi itu, Pelajar A turut memberi keterangan mengenai peristiwa ketika dia bermalam di rumah Allahyarhamah Zara pada 12 Julai lalu.
Joan Goh menegaskan bahawa sepanjang sesi soal balas oleh empat barisan peguam berbeza, Pelajar A kekal konsisten dengan keterangannya.
“Walaupun disoal pelbagai pihak, jawapannya tetap konsisten. Dia berjaya menyampaikan keterangannya dengan tenang dan jelas,” tambahnya.
Dalam pada itu, rakan guamnya, Datuk Ram Singh berkata, pelajar A itu agak letih setelah dua hari menghadiri prosiding untuk memberi keterangan mengenai apa yang diketahuinya.
Katanya, sepanjang dua hari memberi keterangan bermula Isnin, A menerangkan apa yang beliau nampak, dengar dan alami mengenai apa yang berlaku sebelum arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
“Jadi apa yang kita dapat daripada A adalah apa yang dia nampak, apa yang dia dengar dan apa yang dia rasa serta alamilah.
“Setelah beberapa hari menyoal, kemudian kami jumpa dia di bilik saksi dan dia memang rasa penat. Dari ekspresi muka nampaklah yang dia penat,” katanya.
Untuk rekod, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai kira-kira jam 3 pagi, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada 17 Julai jam 1.07 tengah hari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.
