KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bercadang memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu keluar dari pusat bandar bagi membangunkan sebuah pasar baharu yang lebih besar, lengkap dan selesa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dua tapak dikenal pasti untuk pertimbangan awal, masing-masing di Alam Mesra dan Jalan Tun Fuad Stephens berhampiran Kampung Likas.
“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan satu kertas kerja yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet kemudian,” katanya selepas meninjau kedua-dua tapak berkenaan hari ini.
Menurut Hajiji, Pejabat Datuk Bandar turut akan mengemukakan cadangan perancangan masa depan bagi tapak Pasar Besar Kota Kinabalu sedia ada selepas pasar tersebut dipindahkan.
“Sebab itu kita melawat tapak-tapak yang dicadangkan bagi Pasar Besar baharu ini, tetapi ia masih di peringkat awal.
“Jika pasar baharu dibina, ia akan dilengkapi dengan semua kemudahan, lebih besar dan lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Hajiji meninjau tanah milik Kerajaan Negeri seluas 40 ekar di sepanjang Jalan UMS, Alam Mesra, yang dicadangkan sebagai tapak Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu Utara.
Beliau turut menerima taklimat mengenai tapak berkenaan daripada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Sabin Samitah.
Antara kemudahan yang dicadangkan di hab pasar itu ialah pasar kering dan basah, pusat produk kebudayaan, tempatan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti ikan.
Hajiji kemudian meninjau tapak kedua di atas tanah komersial bercampur milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan berhampiran Kampung Likas.
Tapak di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens itu terletak bersebelahan Anjung Selera.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ceasar Mandela Malakun.
