Kota Kinabalu: Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini memerintahkan satu notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung kenyataannya mengenai prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Perintah itu dikeluarkan selepas mahkamah mendengar hujahan peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada saksi kanak-kanak, berhubung ucapan Shafie yang tular di sosial media baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Shafie didakwa menyifatkan kematian Zara sebagai kes bunuh, sekali gus dianggap berpotensi mengganggu prosiding serta mempengaruhi saksi kanak-kanak.
“Saya mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan perjalanan inkues.
“Prosiding ini serius kerana melibatkan kematian seorang kanak-kanak, bukan perkara main-main. Oleh itu, saya bersetuju mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” kata Amir Shah ketika prosiding di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
Notis berkenaan akan disediakan oleh Pegawai Pengendali inkues sebelum diserahkan kepada Shafie.
Prosiding turut dimaklumkan bahawa pihak berkepentingan lain termasuk peguam mewakili saksi kanak-kanak bersetuju kenyataan Shafie boleh dianggap sebagai penghinaan mahkamah.
Semalam, pasukan peguam mewakili empat saksi kanak-kanak dalam inkues Zara yang diketuai Azhier Farhan Arisin menyifatkan kenyataan Shafie sebagai melulu, berbahaya dan menjijikkan.
Sementara itu, pada awal pagi tadi Jabatan Peguam Negara (AGC) turut mengeluarkan kenyataan memandang serius ucapan Shafie yang disifatkan berpotensi menjejaskan kelancaran inkues yang kini memasuki hari ke-11.
AGC menegaskan pihaknya sedang meneliti ucapan berkenaan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah sekiranya wujud asas kukuh di sisi undang-undang.
