Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memasuki fasa baharu hari ini apabila Mahkamah Koroner mula mendengar keterangan saksi kanak-kanak, dengan seramai 35 individu bawah umur dijangka dipanggil sepanjang prosiding.
Antara mereka termasuk lima remaja yang kini sedang berdepan pertuduhan di Mahkamah Kanak-Kanak kerana didakwa menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa.
Kelima-lima tertuduh, yang dirujuk sebagai A, B, C, D dan E, diwakili pasukan peguam masing-masing selepas permohonan sebagai pihak berkepentingan dibenarkan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada 3 September lalu.
Kanak-kanak A diwakili peguam Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala kanak-kanak B, C, D dan E diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.
Pada 20 Ogos lalu, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Mereka dituduh menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina pada 15 Julai 2025 antara jam 10 hingga 11 malam di sebuah sekolah di Papar.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta deposit RM1,000, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November ini.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth akibat kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hipoksia iskemia (HIE).
Bagi menjaga kerahsiaan dan keselamatan, Koroner sebelum ini menegaskan hanya pihak yang terbabit secara langsung dibenarkan berada di dalam mahkamah, manakala pihak luar termasuk media dilarang membuat liputan ketika keterangan saksi kanak-kanak berlangsung.
