Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung kes pendedahan dan pembocoran maklumat melibatkan kanak-kanak yang berkaitan dengan prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, laporan berhubung kes itu diterima pada 19 September lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, pihak polis telah merakam percakapan pengadu dan membuat permohonan analisis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Polis juga sedang berusaha mendapatkan rakaman percakapan pihak pendakwa raya (TPR) serta peguam yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan suspek yang bertanggungjawab selain melengkapkan keseluruhan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
ACP Kasim menegaskan bahawa sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat melibatkan kanak-kanak, khususnya melalui media sosial, adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat sedemikian demi keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak.
Pada Jumaat lalu prosiding inkues Zara Qairina terpaksa ditangguhkan susulan kebocoran maklumat membabitkan seorang saksi kanak-kanak.
Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan kekecewaannya terhadap kebocoran maklumat itu kerana ia menyebabkan gangguan dan penangguhan terhadap prosiding yang sudah memasuki hari ke-10 itu.
