
TAWAU: Tindakan biadap seorang lelaki melemparkan kata-kata kurang sopan dan bertindak kasar terhadap ahli keluarganya membawa padah apabila ditahan pihak polis sejurus menerima aduan awam berkaitan kejadian tersebut.
Polis Tawau dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek seorang lelaki berumur 31 tahun diberkas oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai kerana telah mendatangkan kecederaan di bahagian mata kiri bapanya (mangsa) ketika berlakunya pertengkaran diantara suspek dan mangsa.
“Selain itu, suspek yang masih tidak berpuas hati turut mengeluarkan kata-kata kesat sambil memegang sebatang besi.
“Ketika tangkapan dibuat, suspek cuba melarikan diri namun berjaya dihalang oleh anggota yang bertugas setelah berlaku sedikit pergelutan.
“Suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan dimana Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Manakala Seksyen 326A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.