
TELUPID: Pemandu maut manakala tiga lagi penumpang mengalami kecederaan selepas Mitsubishi Triton dinaiki terbabas sendiri dalam kejadian kemalangan di Kampung Buis, Kiabau semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.02 malam.
Susulan itu katanya, seramai lima anggota Bomba dari BBP Beluran diketuai PBK II Mohd Ridzuan Sahidun bersama agensi lain seperti PDRM, APM dan KKM telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 70 kilometer dan tiba pada jam 10.28 malam.
“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton terbabas sendiri.
“Terdapat empat mangsa terlibat, dua mangsa telah dihantar oleh orang awam ke Klinik Telupid, seorang mangsa lagi berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.
“Manakala seorang lagi mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas (Rescue tools) dan mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan KKM seterusnya mangsa diserahkan pada pihak PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya.
Setelah memastikan tiada Bahaya lain di lokasi operasi ditamatkan pada jam 11.30 malam.