
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa beliau mengambil tanggungjawab atas setiap tindakannya bersandarkan amanah yang diberikan, dan berharap semua pihak juga berpegang kepada prinsip yang sama.
Tegasnya, Sabah tidak boleh dibangunkan bermodalkan fitnah, tetapi atas idea bernas dan komitmen tinggi menggerakkan hala tuju pembangunan negeri.
“Sabah tidak boleh dipimpin oleh mereka yang bankrap idea dan hala tuju serta hanya cuba mendapat sokongan rakyat dengan sentimen dan persepsi yang berpaksikan fitnah dan cacian selain menuding jari mencari salah orang lain tanpa melihat kepada ‘track record’ sendiri.
“Mereka menjadi ‘suara’ memanjangkan beberapa perkara yang terkandung dalam ‘mesej layang’ tanpa sumber dan nama yang sengaja ditularkan di akaun-akaun media sosial palsu mendakwa saya terlibat dengan skandal rasuah berhubung mineral di Sabah.
“Saya meminta kedua-dua individu ini dan Ahmad Hassan (Mantan Ahli Parlimen Papar – Warisan) yang menyumbang kepada penularan ‘mesej layang’ agar membantu saya mencari sumber dakwaan tersebut.
“Sila bawa ‘wartawan siasatan (X7)’ tampil dan ‘Datuk Z’ keluar dari alam ghaib serta dedahkan segala bukti yang mereka ada, sekiranya watak-watak ini benar-benar wujud. Sekiranya Jeffery, Calvin dan Ahmad tidak berjaya mencari mereka, saya cabar ketiga-tiganya membuat kenyataan susulan bahawa saya terlibat rasuah, say it out loud, tanpa ayat berlapik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Armizan berkata demikian bagi merujuk kepada dua kenyataan media yang telah dibuat oleh Jeffery Nor Mohamed (UMNO Sabah) pada 26 Mac 2025 dan Calvin Chong (ADUN melompat ke Parti Warisan) pada 27 Mac 2025.
Tambah Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menulis secara rasmi kepada ketiga-tiga mereka untuk mendapatkan kerjasama dan memberikan penjelasan sama ada tindakan mereka membawa maksud mereka senada dengan ‘mesej layang’ bahawa beliau terlibat dalam skandal rasuah.
“Sebagai individu yang menggelar diri pemimpin, mereka perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan dan tidak bermodalkan fitnah untuk mencipta persepsi politik. Ini lambang tahap integriti diri,” katanya.
Tegasnya lagi, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibangkitkan dan ia merupakan satu fitnah.
“Saya berharap Jeffrey, Calvin, Ahmad dan sesiapa sahaja dapat membantu saya mencari pihak yang boleh tampil mengambil tanggungjawab untuk saya berdepan dengan mereka di mahkamah.
“Dengan adanya sumber itu, saya boleh memulakan tindakan saman fitnah/libel dan mereka perlu mengemukakan segala bukti (sekiranya ada) bahawa tuduhan mereka benar.
“Jangan baling batu, sembunyi tangan. Berani tampilkan diri, ambil tanggungjawab terhadap dakwaan dan kita jumpa di mahkamah,” ujarnya.