KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Blok Borneo tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha untuk mendominasi politik di Semenanjung, sebaliknya dilihat sebagai langkah politik yang sah bagi menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo di peringkat Persekutuan.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap pandangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, yang mendakwa cadangan tersebut bertujuan memperkukuh kawalan politik Sabah dan Sarawak dalam politik nasional.
Menurut kenyataan tersebut, pembentukan Blok Borneo merupakan pendekatan politik matang untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua wilayah dalam sistem Persekutuan Malaysia.
“Cadangan ini tidak harus dilihat sebagai usaha mendominasi Semenanjung, sebaliknya sebagai langkah menyelaras suara Sabah dan Sarawak bagi memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo secara lebih tersusun di Parlimen,” menurut kenyataan itu.
Dalam sistem persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan merupakan perkara biasa dan tidak wajar dipandang negatif.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 adalah berteraskan prinsip perkongsian antara wilayah.
Walaupun Sabah dan Sarawak ketika itu berada di bawah pentadbiran British, penyertaan kedua-dua wilayah dalam Malaysia dibuat melalui rundingan yang jelas, termasuk jaminan perlindungan tertentu bagi menjaga identiti, autonomi pentadbiran serta kepentingan rakyat tempatan.
Jaminan tersebut termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, perkara-perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum, tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan serta beberapa isu berkaitan pelaksanaan MA63 bukanlah keistimewaan berlebihan.
Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia, justeru usaha untuk terus memperkukuh pelaksanaannya adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang.
Cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga dilihat penting dari sudut memastikan representasi yang lebih saksama di Parlimen Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza antara wilayah menjadikan peningkatan representasi sebagai satu langkah yang wajar dipertimbangkan.
“Pembentukan Blok Borneo mencerminkan kematangan politik Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia. Ia bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua wilayah supaya isu pembangunan, hak Perlembagaan serta kepentingan rakyat Borneo dapat diperjuangkan secara lebih teratur dan konstruktif,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah dan bukannya persaingan antara Semenanjung dan Borneo, justeru sebarang usaha memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan perlu dilihat sebagai langkah mengukuhkan negara secara keseluruhan.
