KUALA LUMPUR, 3 Mac: Isu pemberian khas pulangan 40 peratus daripada hasil kutipan Kerajaan Persekutuan di Sabah terus menjadi perhatian apabila satu taklimat khas mengenainya dibentangkan oleh Sabah Law Society (SLS) kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Senator dari Sabah di sini, pagi ini.
Taklimat tersebut menyentuh perkembangan terkini berhubung tuntutan pulangan 40 peratus hasil negeri serta status pelaksanaan kajian semula pembayaran yang melibatkan tempoh dari tahun 1974 hingga 2021.
Menurut maklumat yang dibentangkan, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu melalui perintah mandamus menetapkan tempoh sehingga 15 April 2026 kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan untuk mencapai persetujuan berkaitan pembayaran balik hak 40 peratus Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021, selain pembayaran bermula dari tahun 2022 dan seterusnya.
Bagaimanapun, SLS menyuarakan kebimbangan apabila rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan setakat ini dilaporkan hanya diadakan sebanyak tiga kali.
Selain itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tersebut juga difahamkan telah dirayu oleh Jabatan Peguam Negara.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai komitmen kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Menurut kenyataan tersebut, sekiranya tempoh sehingga 15 April 2026 berlalu tanpa sebarang persetujuan dicapai, implikasi undang-undang kepada negara boleh menjadi serius kerana kerajaan Persekutuan dilihat tidak menghormati prinsip “Rule of Law” serta konsep keluhuran Perlembagaan yang terkandung dalam Rukun Negara.
Sehubungan itu, kedua-dua pihak digesa mempercepatkan rundingan bagi mencapai kesefahaman demi memastikan hak Sabah terus dipelihara seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Taklimat tersebut dianjurkan atas inisiatif Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, yang menghimpunkan Ahli-Ahli Parlimen serta Senator dari Sabah bagi mendengar penerangan berhubung isu berkenaan.
Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah bukan perkara baharu apabila memorandum berkaitan perkara itu pernah dikemukakan kepada Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak pada 15 Julai 2015 oleh beberapa pemimpin Sabah.
Selepas lebih sedekad berlalu dan beberapa kali pertukaran kerajaan Persekutuan, isu berkenaan masih belum dimuktamadkan, sekali gus mendorong pelbagai pihak terus menyokong usaha SLS dan pemimpin Sabah dalam memperjuangkan hak negeri itu.
