Sandakan: Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian kemalangan di Jalan Sebait, Batu 10 Sandakan pada pagi kelmarin (7 okt).
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abdul Rakman berkata, kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 9.50 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke laluan bertentangan.
“Pada masa yang sama, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat lalu merempuh mangsa.
“Perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent, Sandakan, untuk proses bedah siasat bagi tindakan lanjut.
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menunggang atau memandu serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kemalangan maut yang tidak diingini.
