Kota Kinabalu: Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Aksyah Nasrah menyifatkan tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu gambaran jelas terhadap keyakinan mereka terhadap kepimpinan tempatan serta kestabilan politik yang dibawa oleh GRS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Dalam kenyataannya hari ini, Aksyah berkata, keputusan lima ADUN berkenaan, masing-masing dari Liawan, Tulid, Sook, Bingkor dan Paginatan merupakan langkah besar yang dibuat atas asas kepercayaan terhadap keupayaan GRS untuk meneruskan agenda pembangunan serta menjamin kestabilan politik Sabah.
“Lima ADUN STAR yang kekal untuk bersama dengan GRS sempena PRN-17 ini tidak lain adalah suatu gambaran keyakinan bahawa GRS adalah sebuah pasukan yang tepat untuk rakyat bernaung,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kelima-lima ADUN tersebut memiliki rekod perkhidmatan yang baik serta kekuatan tersendiri untuk mempertahankan kerusi masing-masing.
“Kecemerlangan perkhidmatan yang ditunjukkan ini sebenarnya adalah hasil gabungan kebolehan pemimpin berkenaan dan dasar kepimpinan yang diamalkan oleh Datuk Seri Hajiji Noor dalam menerajui GRS sebagai wadah politik orang Sabah,” ujarnya.
Aksyah turut menegaskan bahawa senario ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas menjelang PRN-17, kerana ia mencerminkan kematangan politik rakyat Sabah dalam menentukan parti mana yang layak memimpin negeri ini.
Baginya, GRS bukan sekadar sebuah gabungan politik, tetapi satu “tembok besar” yang terbentuk atas semangat solidariti rakyat Sabah.
“Slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ dan ‘Sabah First’ bukan sekadar slogan biasa. Ia membawa makna dan nilai penting rakyat Sabah agar bersolidariti untuk terus kekal berpegang dan bernaung di bawah satu panji besar yakni GRS,” katanya.
Menurut Aksyah lagi, lima tahun pentadbiran GRS telah membuktikan keberkesanan kepimpinan negeri, termasuk kejayaan menjalin hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan melalui kerjasama dengan Pakatan Harapan-Plus (PH-Plus).
Katanya, hubungan baik ini telah menghasilkan pelbagai rundingan penting termasuk berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberi manfaat nyata kepada rakyat Sabah.
“Kerajaan Persekutuan turut mengiktiraf kebolehan memimpin yang ditunjukkan oleh Hajiji selaku Ketua Menteri. Atas keyakinan itulah, maka banyak perundingan antara Kerajaan Sabah dan Persekutuan membuahkan hasil yang nyata dan dinikmati oleh rakyat Sabah ketika ini,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, solidariti politik tempatan merupakan kunci utama dalam memastikan kestabilan dan kemajuan Sabah dapat diteruskan.
“Senario sihat sebeginilah yang menyebabkan lima ADUN STAR bertindak menyokong penuh kepimpinan Hajiji dan Parti GRS,” katanya.
Sebagai bekas rakan sepasukan, Aksyah turut mendoakan agar STAR dan SAPP terus maju jaya dalam hasrat mereka untuk bertanding di kesemua 73 kerusi DUN pada PRN-17.
Beliau yakin GRS bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pertembungan dengan bekas rakan gabungan dalam gelanggang pilihan raya.
