Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melantik seorang wakil rakyat berketurunan Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata, langkah itu akan direalisasikan jika lebih ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Sekiranya kerajaan ini sekali lagi diberi mandat, dan jika ramai pemimpin Cina berjaya dipilih, saya akan melantik salah seorang daripada mereka sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah Cina swasta dan badan keagamaan bukan Islam di Dewan Hakka, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan masyarakat Cina amat besar dalam pembangunan Sabah, sama ada dalam bidang ekonomi, sektor swasta mahupun perkhidmatan awam negeri.
“Tanpa sumbangan anda semua, ekonomi negeri ini tidak akan berkembang. Ramai pegawai berketurunan Cina juga memegang jawatan tinggi dalam kementerian, jabatan serta GLC,” katanya.
Bagi memperkukuh pentadbiran negeri, Hajiji turut mendedahkan pelantikan tokoh berpengalaman sebagai penasihat, termasuk dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan serta perundangan – majoritinya daripada kalangan masyarakat Cina.
Antara yang terbaru, katanya, ialah pelantikan bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah, sebagai Pengerusi Sabah Law Reform Advisory Council (SLRAC).
“Majlis ini akan menilai undang-undang lama yang ketinggalan zaman, mengemukakan cadangan reformasi yang relevan, adil dan mesra rakyat. Inilah cara kita memperbaiki tadbir urus negeri supaya Sabah terus progresif dan dihormati,” ujarnya.
