Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina hari ini dimulakan dengan keterangan saksi kanak-kanak pertama, pelajar A (anak guam Datuk Ram Singh), yang hadir bersama bapanya selaku pendamping.
Wakil peguam keluarga ibu mangsa, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, prosiding berjalan lancar dengan beberapa penyesuaian di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
Akta ini memperuntukkan bahawa media tidak boleh mendedahkan nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butiran mana-mana kanak-kanak; tidak kira saksi, mangsa atau tertuduh, yang mungkin membolehkan kanak-kanak tersebut dikenalpasti.
“Kita ada ubah suai kerana prosiding keterangan itu dibawah akta kanak-kanak jadi kita pun menyoal dengan cara bahasa yang lebih ringkas lagi mudah. Kita punya peguam pun cuba tanya dengan cara lebih mudah dan pelajar saksi kanak-kanak mereka ada pendamping.
“Pelajar A didampingi oleh bapanya sendiri dan selain itu dalam prosiding ini juga ada jurubahasa sebab kalau keterangan ini mereka berada di bilik yang lain dan kami cuma akan berkomunikasi menggunakan monitor tv dan juga video kamera,” katanya ketika ditemui media di Mahkamah hari ini.
Keterangan pelajar A dijangka akan disambung semula pada esok (Selasa).
Sementara itu, mengulas mengenai hujahan Ram Singh mengenai ucapan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tular di sosial media baru-baru ini, Nizam berkata, pihak mereka bersetuju secara prinsip dengan permohonan itu kerana menghormati perjalanan prosiding dan menjaga kebajikan saksi.
“Sepanjang inkues ini kita mesti berhati-hati kerana melibatkan saksi kanak-kanak. Mereka masih terkesan, jadi kita perlu lindungi mereka supaya objektif mencari kebenaran tercapai,” jelasnya.
Terdahulu Shafie dalam ucapannya didakwa menyifatkan kematian Zara sebagai kes bunuh, sekali gus dianggap berpotensi mengganggu prosiding serta mempengaruhi saksi kanak-kanak.
