Lahad Datu: Polis Lahad Datu mengesahkan pemusnahan sebutir bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb yang berjaya ditemui dan dimusnahkan dengan selamat di tebing Sungai Segama, Kampung Batu 8, Lahad Datu pada 24 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, bom berkenaan ditemui hasil maklumat orang awam sebelum unit khas pemusnah bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen Sabah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi pemusnahan.
“Operasi pemusnahan dijalankan pada 26 Ogos 2025 jam lebih kurang 1.33 petang menggunakan kaedah high order detonation di kawasan yang dikawal sepenuhnya bagi memastikan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, kawasan sekitar telah diperiksa terlebih dahulu dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan harta benda dilaporkan. Seramai 41 pegawai dan anggota, termasuk 17 daripada agensi luar, terlibat dalam operasi tersebut.
ACP Dzulbaharin turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta masyarakat setempat yang menyalurkan maklumat sehingga pemusnahan bom lama berkenaan dapat dijalankan dengan selamat dan terkawal.
