Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa budaya buli yang semakin berleluasa di pusat pengajian dan sekolah di negeri ini serta di seluruh negara perlu dipandang serius dan segera dibendung.
Menurut beliau, insiden buli yang berlaku termasuk di sekolah agama amat mengecewakan kerana ia mencemarkan institusi yang sepatutnya melambangkan kesucian agama Islam.
“Saya amat kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku. Lebih mengejutkan apabila budaya buli turut berlaku di sekolah agama. Masyarakat mula bertanya, dan saya juga ingin tahu, bagaimana budaya seperti ini boleh wujud dalam institusi yang suci? Di manakah silapnya?” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini hari ini.
Hajiji menegaskan, konvensyen berkaitan hal ehwal agama Islam merupakan wadah terbaik untuk bermuhasabah, menilai kelemahan serta memperbaiki kekurangan, bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam organisasi kerajaan dan swasta.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menzahirkan kebimbangan terhadap penularan propaganda palsu di media sosial yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, khususnya kumpulan anti-kerajaan, dengan tujuan menjatuhkan maruah pemimpin serta mencetuskan perpecahan menjelang pilihan raya negeri.
Katanya, isu-isu politik, ekonomi, keselamatan, kesihatan, alam sekitar serta isu 3R (kaum, agama, dan institusi diraja) sering dijadikan bahan sensasi oleh segelintir pihak. Malah, institusi Yang di-Pertua Negeri juga tidak terkecuali daripada serangan tersebut.
“Lebih mendukacitakan, tragedi melibatkan pelajar dan budaya buli di sekolah turut disensasikan hingga ada yang sanggup berbohong, menyebar berita palsu serta memfitnah individu tertentu,” katanya.
Hajiji menambah, perkembangan pesat teknologi maklumat, khususnya kecerdasan buatan (AI), walaupun membawa manfaat, juga boleh mendatangkan ancaman sekiranya disalahgunakan untuk menghasilkan bahan palsu seperti infografik, audio dan video.
“Penyalahgunaan teknologi ini adalah cabaran besar yang kita hadapi pada abad ini. Negara-negara maju bukan sahaja berlumba mencipta gajet, malah berusaha mempengaruhi minda manusia. Kebimbangan utama saya ialah terhadap generasi muda yang bakal mewarisi masa depan tanah air,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan peranan ibu bapa, pendidik, pendakwah, pemimpin organisasi dan tokoh masyarakat amat penting sebagai pembimbing dan benteng pertahanan generasi muda.
“Tugas mendidik generasi muda adalah satu fardhu kifayah yang besar pahalanya. Ia mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang terhadap bangsa dan negara,” katanya.
