Kota Kinabalu: Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa beberapa individu berhubung kes buli pelajar Tingkatan Satu itu.
Dalam kenyataan bersama, barisan peguam Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser berkata, keputusan tersebut selaras dengan cadangan mereka kepada AGC sebelum ini.
“Keputusan ini adalah selaras dengan cadangan kami kepada Jabatan Peguam Negara melalui kenyataan media pada 14 Ogos 2025.
“Ketika itu, kami mencadangkan agar pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan berdasarkan keterangan yang mendedahkan wujud unsur buli sebelum kejadian menimpa Zara,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, mereka menjelaskan bahawa setakat kenyataan itu dikeluarkan, pasukan guaman belum dimaklumkan mengenai identiti individu-individu yang bakal didakwa di mahkamah, termasuk peruntukan undang-undang yang digunakan untuk pertuduhan.
“Kami berharap pendakwaan terhadap individu-individu terbabit akan dikaitkan dengan kematian Zara dengan menggunakan seksyen berkenaan agar hukuman yang lebih berat dapat dikenakan jika berlaku sabitan,” kata mereka lagi.
Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan bahawa lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Rabu ini atas kesalahan berkaitan buli.
AGC turut menegaskan bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang dijadualkan bermula 3 September depan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
