Kota Kinabalu: Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Hamid Ismail, menegaskan bahawa himpunan solidariti #JusticeForZara tidak wajar dijadikan pentas politik oleh mana-mana pihak.
Ketika ditemui media di Mahkamah Kota Kinabalu selepas sebutan tarikh prosiding inkues hari ini, Hamid berkata beliau menyokong penuh usaha solidariti yang dianjurkan rakyat, namun ia perlu dijalankan secara tertib.
“Bagi mereka yang ingin bersolidariti, saya dan pasukan saya sangat sokong. Cuma patuhi undang-undang, patuhi peraturan yang ditetapkan dan jaga kebersihan di tempat bersolidariti.
“Jika ada yang ingin berpolitik, janganlah suruh datang. Solidariti ini adalah untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik. Penganjur juga perlu menolak orang yang ingin memberi ucapan berunsur politik. Kita semua untuk Zara, bukan untuk parti,” tegasnya.
Hamid turut menyatakan bahawa tragedi kematian Zara tidak seharusnya berlaku sekiranya siasatan awal dijalankan mengikut prosedur, khususnya ketika proses bedah siasat sepatutnya dilakukan.
“Perkara ini tidak akan berlaku jika tidak kerana kecuaian di peringkat awal siasatan, iaitu ketika postmortem tidak dilakukan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa ibu arwah, Noraidah Lamat, berasa lega selepas Perdana Menteri memberi jaminan bahawa tiada pihak yang terlibat akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Saya bercakap dengan ibu Zara semalam. Dia sangat gembira dengan jaminan Perdana Menteri dan dia memohon kepada semua saksi, khususnya para pelajar, agar jangan takut untuk tampil. Kalau takut kepada polis, boleh jumpa kami,” jelasnya.
Hamid turut menegur tindakan segelintir pengguna media sosial yang didakwa mengugut dan menyebarkan cerita palsu sehingga menakutkan individu tertentu daripada tampil sebagai saksi.
“Saya sudah berjumpa seorang individu yang takut kerana ada tiktokers mengugut-ugut dan menyebarkan cerita palsu. Jadi diharap jangan takut.
“Saya galakkan orang untuk jumpa polis atau jumpa saya. Kepada tiktokers dan influencer, tolong jangan takut-takutkan saksi. Kita mahu keadilan, jadi jangan memfitnah atau mengugut orang lain,” katanya.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina dijadual bermula 3 September ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dengan puluhan saksi dijangka memberi keterangan.
