PAPAR: Satu kemalangan jalan raya membabitkan lima buah kenderaan dilaporkan berlaku di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Kawang, di sini petang tadi, mengakibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun cedera ringan manakala empat yang lain dilaporkan selamat.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 4.04 petang.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar kemudian menghantar seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah unit EMRS ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Asrin Ag Piut berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori treler, tiga kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan sebuah Perodua Bezza.
“Seorang mangsa lelaki berusia 23 tahun yang menaiki Perodua Bezza mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi. Namun, mangsa enggan dihantar ke hospital. Empat lagi mangsa termasuk pemandu tiga buah Triton dan lori treler dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi pasukan bomba yang tiba di lokasi pada jam 4.30 petang tertumpu kepada pemeriksaan kawasan kemalangan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.50 petang.
