KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara mengesahkan bahawa satu inkues akan dijalankan bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataan media hari ini, jabatan itu memaklumkan keputusan tersebut adalah susulan pengumuman rasmi bertarikh 13 Ogos lalu, yang menegaskan kepentingan inkues bagi meneliti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes berprofil tinggi itu.
“Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu untuk mengadakan prosiding berkenaan, selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“Mahkamah Koroner Kota Kinabalu turut menetapkan satu tarikh sebutan esok, Isnin, 18 Ogos 2025, bagi menentukan jadual pendengaran inkues tersebut,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam, pihak Jabatan Peguam Negara akan memohon agar prosiding dipercepatkan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Keutamaan bukan sahaja diberikan kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, tetapi juga kepada kepentingan masyarakat umum yang menuntut kebenaran serta ketelusan dalam siasatan,” jelas kenyataan itu lagi.
Inkues ini dijangka menjadi tumpuan seluruh negara, susulan kebimbangan masyarakat terhadap isu keselamatan pelajar serta tuntutan keadilan dalam tragedi yang menimpa remaja berusia 13 tahun itu.
