TAWAU: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis selepas disyaki mencekik, memukul dan mengugut bunuh isterinya dalam kejadian di rumah mereka pada Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang apabila pasangan itu dipercayai bertengkar.
“Suspek kemudian bertindak agresif dengan mencekik dan memukul mangsa hingga menyebabkan bengkak pada telinga kanan serta bahagian atas pipi. Suspek turut mengeluarkan kata-kata ancaman bunuh.
“Mangsa, berusia 31 tahun, membuat laporan polis pada jam 9.16 pagi semalam sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan suspek kira-kira jam 5 petang di kawasan tempat letak kereta hadapan sebuah bank di bandar Tawau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Superintendan Champin menasihatkan orang ramai, khususnya mangsa keganasan rumah tangga, supaya tidak berdiam diri dan segera membuat laporan kepada pihak polis bagi mengelakkan kejadian lebih serius serta menyelamatkan nyawa.
