KOTA KINABALU: Masih terkejut, panik dan tidak berupaya untuk membuat keputusan waras ketika kejadian menjadi punca mengapa pihak keluarga arwah Zara Qairina Mahathir, 13, terutama ibunya, Noraidah Lamat bertindak untuk menandatangani dokumen menolak bedah siasat dilakukan terhadap anaknya yang meninggal pada 17 Julai lalu.
Perkara ini disahkan sendiri oleh ibu Zara menerusi satu hantaran komen di Facebook atas nama ‘Noie AiDa’ yang tular sejak pagi tadi.
“Memang tiada penerangan yang jelas, kami bukan biasa dengan kes macam ani. Kami panik, tiada satu pun nasihat dan pengukuhan diberikan akan proses bedah siasat.
“Kalau kami tahu, kami tak akan sesekali turun tangatangan enggan bedah siasat.
“Boleh bayangkan ka sekarang? Kematian ini berlaku begitu cepat, satu malam saja di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), 20 jam masuk di wan Neuro,” tulisnya dalam komen tersebut.
Dalam pada itu, peguamnya, Hamid Ismail, mengesahkan akaun dengan nama pengguna ‘Noie AiDa’ adalah milik Noraidah.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar mengesahkan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam kes kematian Zara.
Beliau berkata, siasatan yang bermula pada 11 Ogos lalu mengesahkan pegawai penyiasat gagal membuat permohonan untuk proses bedah siasat mengikut prosedur.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelianya kerana tiada pengawasan,” katanya daalm sidang media khas di Bukit Aman.
