PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara mengesahkan telah menerima laporan penuh siasatan awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina, masing-masing daripada Cawangan Sabah pada 3 Ogos dan Ibu Pejabat PDRM Putrajaya pada 4 Ogos.
Dalam satu kenyataan media hari ini, jabatan itu memaklumkan bahawa laporan berkenaan kini sedang diteliti secara mendalam meliputi semua aspek undang-undang dan fakta berkaitan kes tersebut.
“Proses penelitian ini dijalankan bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang sah serta menepati prinsip keadilan,” jelas kenyataan tersebut.
Jabatan Peguam Negara turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan selepas proses penelitian terhadap laporan siasatan selesai.
Pihak jabatan juga menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang kenyataan berunsur spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan serta menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
“Kami menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa agar memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil dan telus,” tambah kenyataan itu.
Zara dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di kawasan asrama Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Tiada autopsi dijalankan sebelum pengebumian, menyebabkan keluarga kini menuntut keadilan melalui proses kehakiman yang sah.
