KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tidak perlu membuat janji manis semata-mata kerana bantuan pendidikan kepada rakyat Sabah sudah pun dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan, kata Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim.
Dalam satu kenyataan, Azrul menyifatkan kerajaan GRS sebagai kerajaan yang melaksana, bukan sekadar berjanji.
Menurutnya, pelbagai bantuan pendidikan telah disalurkan kepada pelajar dari semua peringkat, termasuk pelajar SPM, STPM dan STAM yang menerima bantuan tunai RM200 seorang, pelajar peringkat asasi, matrikulasi dan diploma (RM1,500), serta pelajar ijazah (RM2,000).
“Pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan juga menerima bantuan RM600, manakala yang menuntut dalam negeri menerima RM300. Ini bukti bahawa kerajaan tidak hanya bercakap, tetapi bertindak,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya semalam.
Azrul turut memetik sumbangan besar kepada lebih 1,500 PIBG di seluruh Sabah sebanyak RM2,000 setiap satu dan semua sekolah menerima RM3,000, tidak termasuk bantuan penyelenggaraan sekolah bernilai RM50,000, dan yang terbaharu, subsidi yuran MUET kepada ribuan pelajar.
Tambahnya lagi, dana biasiswa negeri Sabah turut ditingkatkan kepada RM136 juta tahun ini, selain bantuan one-off kepada pelajar melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Beliau juga menyatakan bahawa pelajar Sabah mendapat manfaat daripada program-program pembangunan mahasiswa seperti Debat Piala Ketua Menteri, Pidato, Destini SMJ Anak Muda, dan kerjasama dengan banyak PIBG untuk melaksanakan aktiviti akademik, kepimpinan dan kemasyarakatan.
“IPT milik kerajaan negeri seperti KTYS dan UCSF turut menyediakan pendidikan hampir percuma. Ini adalah komitmen sebenar untuk rakyat,” katanya.
Dalam isu pinjaman PTPTN, Azrul menegaskan pendekatan kerajaan GRS lebih realistik dan bertanggungjawab, dengan merancang subsidi atau diskaun pembayaran, bukannya menghapuskan hutang secara populis yang sukar dilaksanakan.
“Janji tidak bermakna jika tiada kemampuan. GRS buktikan mereka ada keupayaan. Mereka tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi laksanakan mengikut keupayaan kewangan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar tidak terperangkap dengan retorik pembangkang, dan membuat pilihan bijak dalam PRN-17 akan datang.
“Kita perlukan kerajaan yang kuat dan stabil untuk menjamin pendapatan negeri serta kekuatan suara Sabah di peringkat nasional. Ini peluang keemasan, jangan disia-siakan,” tegasnya.
