
PUTATAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 mungkin bakal diadakan dalam masa terdekat, namun menegaskan bahawa keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hak dan pertimbangannya selaku Ketua Menteri.
Menjawab spekulasi yang semakin hangat mengenai kemungkinan pembubaran DUN Sabah, Hajiji berkata,
“Itu saya yang fikir itu. Orang lain jangan fikir sangatlah. Sebagai Ketua Menteri saya akan menentukan nanti tetapi jelas bahawa tidak berapa lama lagi kita akan mengadakan pilihan raya umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah di sini, semalam.
Menurut beliau, walaupun tarikh sebenar belum diputuskan, pilihan raya tetap akan diadakan, sama ada lebih awal atau lewat, dan akhirnya rakyat akan diberi peluang untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.
“Jadi tunggu, kita serah balik kepada rakyat untuk memutuskan siapa kerajaan yang mereka mahu,” tambahnya.
Ditanya sama ada perbincangan rasmi mengenai pembubaran DUN telah dimulakan, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan perkara tersebut bahawa perbincangan awal sudah dibuat.
“Perbincangan awal sudah ada, jadi kita muktamadkan dalam masa terdekat sebelum bubar.”
Namun ketika ditanya mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam rundingan itu, beliau enggan mengulas panjang, sebaliknya,
“Kamu tanya lah BN, apa mereka mahu.”
Kenyataan Hajiji ini mencerminkan kedudukan beliau yang kekal tenang di tengah-tengah spekulasi politik, sambil menghantar isyarat jelas bahawa keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan kepentingan negeri dan kestabilan politik Sabah menjelang PRN akan datang.