
SULAMAN: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan semua pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat)serta GRS agar tidak terpengaruh dengan dakyah dan pembohongan yang disebarkan oleh pihak pembangkang melalui media sosial.
Berucap semasa merasmikan Persidangan Gagasan Rakyat Sulaman di Tuaran pada Ahad, Hajiji menegaskan pentingnya ahli parti bersatu dan bijak menilai fakta serta tidak termakan hasutan yang boleh melemahkan perpaduan dalam GRS.
“Kita mesti pandai menilai apa itu fitnah dan pembohongan serta apa yang telah dibuat oleh kerajaan. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan fitnah pembangkang,” katanya.
Beliau menambah bahawa biarpun pembangkang terus menyebarkan tohmahan, ahli Gagasan Rakyat dan GRS mesti kekal teguh bersama, khususnya di kawasan Sulaman yang menjadi kubu kuat beliau sejak sekian lama.
Mengulas mengenai persiapan GRS menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Hajiji berkata beliau akan berbincang dengan komponen GRS sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, terutamanya berkaitan rakan kerjasama dan pembahagian kerusi.
“Walaupun belum ada keputusan muktamad, kita kini lebih selesa seperti dalam kerajaan sekarang, iaitu GRS-PH Plus. Ini adalah sentimen rakyat di bawah sekarang, mereka mahukan kesinambungan ini,” jelas beliau.
Hajiji turut menempelak tindakan segelintir parti lawan yang bersikap angkuh dan sering membuat kenyataan besar di luar, sedangkan pendekatannya dalam GRS lebih inklusif dan berdasarkan konsensus Majlis Tertinggi (AMT) gabungan tersebut.
Mengenai kerusi DUN Sulaman yang telah diwakilinya sejak 1990, Hajiji menyatakan keyakinan bahawa kerusi tersebut akan terus dipertahankan oleh GRS pada PRN akan datang.
Beliau turut menyasarkan kemenangan di tiga lagi kerusi dalam Parlimen Tuaran termasuk Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu bagi memastikan kekuatan GRS terus utuh di kawasan tersebut.
“Kita mesti terus bekerja dan pertahankan semua kerusi ini demi kestabilan dan masa depan rakyat Sabah,” tegasnya.