
KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas berusia 61 tahun cedera selepas kaki kanannya tersepit dalam penutup lubang parit di bahu jalan dalam kejadian yang berlaku di Jalan Kionsom, Inanam malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 6 kilometer dari balai.
Pasukan bomba yang tiba tujuh minit kemudian mendapati mangsa dalam keadaan tersepit di celah penutup besi lubang parit.
“Pasukan penyelamat segera menggunakan peralatan khas jenis hydraulic power unit bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit,” kata Komander Operasi PBK II Yohanes Sipin dalam satu kenyataan.
Mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa singkat dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.42 malam dan melibatkan lapan anggota bomba dengan kekuatan dua jentera termasuk sebuah FRT dan sebuah EMRS.
Tiada agensi lain dilaporkan terlibat dalam operasi tersebut.