
INANAM: Ketua Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam, Belsheera Elison menegaskan bahawa wanita muda kini bukan lagi sekadar pengikut dalam arus politik dan pembangunan, sebaliknya telah bangkit sebagai pemimpin dan penggerak utama komuniti.
Belsheera yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Beliawanis Pusat berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Persidangan Tahunan Pergerakan Beliawanis Bahagian Inanam yang berlangsung di Dewan Masyarakat Menggatal, pada Ahad.
“Wanita muda hari ini telah membuktikan kemampuan mereka untuk memimpin dan menjadi suara penting dalam pentas politik, Beliawanis bukan sekadar sayap parti, kita adalah nadi perjuangan akar umbi,” katanya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar lebih ramai wanita muda tampil aktif membentuk masa depan negeri Sabah, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung tahun ini.
Dalam pada itu, Belsheera turut mendedahkan statistik menunjukkan terdapat lebih 25,000 pengundi muda di kawasan Inanam, di mana lebih 12,000 daripadanya terdiri daripada wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun.
“Ini bukan angka kecil. Ini adalah kekuatan yang boleh mengubah landskap politik Inanam jika kita benar-benar sedar nilai undi kita,” katanya sambil menggesa anak muda agar tidak bersikap pasif dan turun mengundi demi menentukan masa depan mereka.
Mengulas sikap segelintir anak muda yang menyatakan tidak berminat terhadap politik, Belsheera menegaskan bahawa ketidakpedulian terhadap politik hanya akan merugikan diri sendiri.
“Politik bukan hanya tentang pemimpin dan kerusi, tetapi ia menentukan pendidikan, peluang pekerjaan, harga barang dan masa depan kita semua,” tegasnya, sambil menyeru generasi muda agar celik politik serta bijak menilai fakta terutama di media sosial.