
RANAU: Pusat Pemindahan Transit (PPT) Dewan PLK Kundasang telah diaktifkan pagi tadi bagi menempatkan mangsa-mangsa kebakaran kedai runcit, homestay, rumah sewa dan stor semalam.
Pengisyitiharan pembukaan PPT tersebut dibuat oleh Pegawai Daerah Ranau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ranau, Tinus Manggam menerusi satu kenyataan pada jam 11 pagi tadi.
“Selaras dengan pandangan dan cadangan daripada Jawatankuasa Bencana Daerah Ranau adalah dengan ini saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ranau mengisytiharkan bahawa Pusat Pemindahan Transit Dewan PLK Kundasang diaktifkan bermula jam 11 pagi hari ini.
“Pengaktifan itu dibuat setelah pemeriksaan kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) telah tidak selamat untuk didiami.
“Mohon semua agensi yang terlibat untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya di sini, hari ini.
Semalam dilaporkan sebanyak tiga buah kedai runcit, dua buah homestay, satu blok rumah sewa 11 pintu dan satu stor penyimpanan barang runcit musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Pekan Kundasang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.37 malam.
Susulan panggilan itu katanya, seramai 15 anggota bomba dari BBP Ranau diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Juanie @ Girin Bin Dullah bersama tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua anggota Sabah Electricity telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 18 kilometer dan tiba pada jam 8.56 malam.