
KOTA KINABALU: Empat penjaja gerai ikan telah dikompaun oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana didapati masih membuat halangan di sekitar bangunan Pasar Ikan di sini pada Rabu lalu.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan kompaun tersebut dibuat kerana penjaja tersebut tidak peduli dengan teguran DBKK sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan ini, sebanyak empat penjaja gerai ikan telah dikompaun kerana masih membuat halangan di sekitar bangunan Pasar Ikan, walaupun telah ditegur beberapa kali sebelum ini.
“Manakala, tiga tong ikan telah disita kerana diletakkan di kawasan kaki lima pasar dan tiada peniaga ikan yang menuntut tong berkenaan semasa pemeriksaan dijalankan.
“Sepanjang pemeriksaan dijalankan, keadaan adalah terkawal dan berjalan dengan lancar.
“DBKK menyeru kepada para penjaja di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu untuk sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan, bagi memastikan keteraturan dan kesejahteraan bandar raya,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pemeriksaan itu, seramai 11 anggota DBKK terlibat dalam pemeriksaan di Pasar Ikan yang diketuai oleh Jabatan Pelesenan.
Pemeriksaan yang dijalankan bermula jam 10 pagi hingga jam 12 tengah hari itu melibatkan tujuh anggota Jabatan Pelesenan dan empat anggota Jabatan Penguatkuasaan, DBKK.