
PAPAR: Bom kedua yang ditemui dan dipercayai bom peninggalan Perang Dunia Ke-2 akan dimusnahkan pada jam 10 pagi esok bersamaan hari Ahad (2 Mac) di tapak pembinaan Loji Air berhadapan dengan Kilang Plastic Lok Kawi Industries Sdn Bhd.
Ketua Polis Daerah Papar, Supt. Kamaruddin Ambo Sakka berkata, Balai Polis Kinarut telah menerima laporan penemuan bom kedua tersebut pada jam 7.30 pagi kelmarin (28 Feb).
Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berada di sekitar radius 1 kilometer persegi di kawasan pemusnahan bom tersebut akan dijalankan.
“Bom yang dijumpai ini adalah penemuan kedua dijumpai di lokasi yang sama yang mana bom pertama sebelum ini telah berjaya dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Sabah.
“Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Papar, disertai oleh semua Jabatan Daerah Papar, UPPM dan agensi-agensi yang berkaitan telah sepakat untuk melupuskan bom tersebut pada 2 Mac 2025, hari Ahad jam 10 pagi di lokasi bom itu ditemui dengan mematuhi segala SOP yang tertakluk di Bawah Jawatankuasa Perancangan Operasi (OPC) No.8 dan Pengurusan Risiko Bencana Letupan di bawah NADMA No.1,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Antara tindakan orang ramai atau orang awam yang perlu dipatuhi ialah, keluar meninggalkan kediaman atau bangunan dan berada di kawasan lapang dalam jarak 1 kilometer dari tempat pemusnahan bom selain membawa barang-barang berharga ketika meninggalkan bangunan atau kediaman dan meletakkan barang-barang yang mudah pecah di atas lantai kediaman.
Seterusnya, tutup pintu dengan berkunci semasa meninggalkan rumah kediaman, pastikan tingkap cermin dibuka bagi mengurangkan tekanan letupan.
Beberapa jalan-jalan utama turut ditutup pada jarak 1 kilometer dan orang awam dinasihatkan untuk mencari jalan alternatif lain. Selain itu orang ramai turut dinasihat untuk bertenang dan tidak mengambil keputusan secara melulu sehingga boleh menyebabkan terganggu gugat ketenteraman awam.
“Pihak PDRM akan memaklumkan dengan kadar segera sekiranya operasi pemusnahan bom ini selesai dan selamat kepada orang awam.
“Pihak PDRM IPD Papar dan UPB akan cuba sedaya upaya dan titik beratkan aspek keselamatan untuk meminimumkan kesan dan impak kepada orang awam dan kerosakan harta benda,” tambahnya.