
PUTATAN: Seorang lelaki warga asing yang memandu sebuah lori dilaporkan hilang kawalan dan lori yang dipandu tersebut telah merempuh 14 buah kenderaan lain dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Duvanson berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.20 pagi.
Katanya, 14 buah kenderaan yang dirempuh lori itu termasuklah 11 kereta, dua kenderaan jip dan sebuah motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu lori dipercayai telah hilang kawalan hingga melanggar 14 buah kenderaan lain yang diletakkan di tepi jalan kiri dan kanan serta bahu jalan di hadapan SK Tansau, Puatatan.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, salah seorang pemandu kenderaan yang dilanggar mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Sementara, pemandu lori iaitu lelaki warga asing 56 tahun telah ditahan dan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Kes kini disiasat dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan dan berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Azmi Adam di talian 012-8434330.
Polis dalam kenyataan sama menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.