
Kota Kinabalu, 20 Februari 2025 (Khamis) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terus memperkukuh komitmen dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat dengan melaksanakan Operasi Perobohan Koloni Setinggan Siri 2/2025.

Operasi ini dijalankan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan, termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), serta Jabatan Ketua Menteri (JKM).
Dalam operasi ini, sebanyak 35 buah rumah setinggan telah dirobohkan setelah dikenal pasti sebagai penempatan haram yang menimbulkan risiko keselamatan serta menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.

Langkah ini bukan sahaja bertujuan membanteras penempatan haram tetapi juga mengelakkan kawasan tersebut daripada menjadi lokasi kegiatan jenayah, penempatan pendatang tanpa izin (PTI), penyalahgunaan dadah, serta pelbagai gejala sosial lain

PDRM IPD Kota Kinabalu menegaskan bahawa operasi seperti ini akan terus dijalankan secara berperingkat bagi memastikan Kota Kinabalu bebas daripada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. Kerjasama erat antara pihak berkuasa dan masyarakat amat penting dalam menjayakan usaha ini.