
TAWAU: Seorang lelaki yang juga penganggur ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan pantai Batu 3, Jalan Apas, Tawau, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 2.30 petang ketika pihak Polis dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan tanggungjawab.
“Suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau dan hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki warga tempatan berusia 24 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, suspek ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis turut mengingatkan orang ramai untuk terus memberi kerjasama melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa dalam usaha PDRM Tawau memerangi jenayah dadah dan memastikan keamanan dan kesejahteraan daerah ini terjamin.