PEKAN NABALU: Tiga mangsa dilaporkan cedera selepas terlibat dalam kejadian kemalangan membabitkan pertembungan dua buah kenderaan di jalan berhampiran Pekan Nabalu pada petang, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.20 petang.
Katanya, dua anggota bomba dari BBP Tuaran bersama agensi KKM telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 48 kilometer dan tiba pada jam 3.23 petang.
“Lapor kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan jenis Isuzu Dmax dengan Proton Persona.
“Terdapat tiga mangsa terlibat dilaporkan di mana dua mangsa daripada kenderaan Isuzu Dmax telah dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans KKM sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Manakala, seorang mangsa di kenderaan Proton Persona, lelaki berusia 26 tahun diberi rawatan awal oleh EMRS sebelum dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Setelah memastikan tiada bahaya yang lain wujud di lokasi, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 petang.