TUARAN: Satu maut, dua cedera dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua buah kenderaaan di Kampung Indai berhadapan kedai Speedmart awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamda Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.39 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota Bomba dari BBP Tuaran bersama agensi lain seperti KKM dan PDRM dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer dan tiba pada jam 7.50 pagi.
“Lapor kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Saga bertembung dengan Perodua Alza.
“Terdapat tiga mangsa terlibat dilaporkan yang mana dua mangsa cedera berjaya dikeluarkan oleh pihak Bomba.
“Manakala, seorang mangsa lagi, iaitu lelaki berusia 24 tahun telah tercampak keluar dari kereta semasa kemalangan berlaku lalu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa cedera seterusnya diserahkan kepada pihak KKM untuk mendapatkan rawatan dan seorang mangsa meninggal dunia diserakan kepada PDRM untuk tindakan siasatan.
Pemeriksaan di buat untuk memastikan tiada bahaya lain dan seterusnya operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.15 pagi.