KOTA BELUD: Empat mangsa dilaporkan mengalami kecederaan selepas Perodua Kelisa yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Rosok Bengkahak pagi tadi.
Manakala, seorang mangsa lagi, iaitu pemandu, Kotin Maun, 45 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan selamat dari insiden pokok tumbang tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.44 pagi.
“Lapor berlaku pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan jenis Perodua Kelisa.
“Terdapat lima mangsa terlibat dilaporkan telah dikeluarkan dan dihantar ke hospital Kota Belud oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba di lokasi kejadian.
“Pasukan Bomba bersama pihak APM kemudian menjalankan operasi memotong pokok menggunakan peralatan khas dan seterusnya mengalihkan ke tempat selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.11 pagi.