KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam proses melaksana kerja-kerja untuk membuat anggaran kos baharu bagi membina Sekolah Menengah Kebangsaan Nabalu.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sehingga 21 November 2024, pihak JKR sedang dalam tindakan melantik juruukur untuk melakukan kerja ukur tambahan.
“Ia bagi mendapatkan kos anggaran baharu untuk dikemukakan kepada pihak KPM.
“Penentuan hala tuju projek ini akan mengambil kira setiap keperluan berkaitan serta kebolehlaksanaannya dan akan ditetapkan dalam Makmal Pengurusan Nilai Kali Kedua pada tahun 2025.
“Kementerian tersebut menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap pertanyaan yang dikemukakan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.
Dalam soalannya, Madius meminta penjelasan sama ada peruntukan RM100 juta untuk membina SMK Nabalu tidak mencukupi.
“Jika benar, apakah langkah-langkah yang diambil untuk memastikan peruntukan itu mencukupi termasuk dalam pembinaan infrastruktur asas seperti jalan perhubungan menuju ke sekolah berkenaan. Bilakah pula pembinaan SMK Laya-Laya, Tuaran akan dimulakan,” katanya.
KPM memberitahu, sesi makmal pengurusan nilai yang diadakan pada 19 hingga 21 Mac 2024 mendapati berlaku peningkatan kos projek yang ketara iaitu sebanyak 143 peratus berbanding kos projek diluluskan.
“Peningkatan kos ini berlaku disebabkan oleh tapak projek berbukit dan berlembah yang memerlukan kerja pemotongan tanah serta perlindungan cerun yang ekstrem.
“Terdapat juga keperluan untuk menaik taraf jalan masuk sepanjang 3.5 kilometer bagi memenuhi keperluan agensi teknikal tempatan.
“Sehubungan itu, KPM dan JKR diminta untuk mengkaji semula cadangan tapak serta lain-lain opsyen bagi mendapatkan kos projek yang lebih optimum,” jelas KPM.
Sementara itu, bagi pembinaan SMK Laya-Laya, kementerian itu memaklumkan bahawa projek berkenaan melibatkan 36 bilik darjah serta kemudahan lain yang telah diluluskan, namun perlu melalui beberapa proses sebelum pelaksanaan.
“Makmal Kajian Nilai (Value Assessment-VA) telah dilaksanakan pada 18 hingga 20 November 2024 bagi memuktamadkan skop dan kos projek, di samping menetapkan kaedah penyelesaian berhubung isu jalan penduduk serta pengalihan utiliti yang kritikal.
“Manakala Makmal Kejuruteraan Nilai (Value Engineering-VE) dijangka akan diadakan pada April 2025 sebelum dapat diiklan bagi lantikan kontraktor,” tambah kenyataan itu lagi.