PENAMPANG: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan terus mengenal pasti dan membantu menyumbang keperluan pelajar-pelajar dari golongan B40 di seluruh daerah Sabah.
Ketua Pergerakan Beliawanis Pusat, Emmie Datuk Martin Idang berkata, pihaknya terpanggil untuk memberikan sumbangan tersebut bagi membantu meringankan beban ibu bapa pelajar daripada golongan B40 berikutan kos barangan keperluan sekolah yang semakin meningkat.
“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang adalah kawasan pertama yang kami bantu dan selepas ini kita akan cuba masuk ke daerah-daerah lain bagi mengenal pasti golongan pelajar yang memerlukan bantuan dengan kerjasama PPD di daerah-daerah terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kasut Sekolah di PPD Penampang pada Isnin.
Dalam pada itu, seramai 200 murid dan pelajar B40 dari 26 sekolah di bawah seliaan PPD Penampang menerima bantuan tersebut yang disumbangkan oleh Pergerakan Beliawanis Pusat dengan kerjasama Kelab Belia Revolusi Aktif Kituau (KREATIF) sempena Program ‘Back To School’.
Sementara itu, Pegawai PPD Penampang, Ag Mohd Kadir Ag Kanak menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan yang telah diberikan itu.
“Kita mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbangan ini, mudah-mudahan dapat membantu para pelajar kita yang amat memerlukan dan kita juga harap agar kerjasama seperti ini akan berterusan di masa-masa akan datang.
“Banyak bantuan-bantuan yang kita usahakan, misalnya untuk mengurangkan bebanan pelajar dari segi perbelanjaan, pembelian pakaian kemudian tambang dan sebagainya,” katanya.
Turut menzahirkan rasa syukur, Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Buayan, Lazim Gudau yang mewakili pelajarnya menerima bantuan kasut tersebut.
“Semoga bantuan yang diberikan ini dapat memberi manfaat yang banyak kepada murid saya, kerana mereka di kawasan pedalaman, iaitu kawasan hutan.
“Sebelum ini, murid saya hanya menggunakan kasut getah sahaja, jadi kalau dapat kasut yang bagus ini, harap-harap mereka terus semangat untuk belajar.
“Sebenarnya sekolah kami memang masih banyak memerlukan bantuan seperti peralatan Teknologi dan Komunikasi Maklumat (ICT),” katanya.
Turut hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan itu ialah, Pengerusi Kelab KREATIF, Tracie Nam; Exco-Exco Pergerakan Beliawanis Pusat, Belsheera Elison, Lindsay Michael dan Naib Ketua Pergerakan Beliawanis Moyog, Cassie Siambun.