KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Sangkar Rasam menepis kenyataan Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Sazalye Donol semalam yang didakwa merupakan fitnah tidak berasas dan tidak mencerminkan pandangan sebenar suara akar umbi parti itu.
Beliau menyifatkan Sazalye telah melakukan tuduhan jahat terhadapnya dengan mengatakan beliau belum pernah mengadakan program-program memperkasakan kepimpinan parti semenjak dilantik menjadi Pengerusi MPN pada 2022.
“Perkara ini sama sekali langsung tidak benar kerana sepanjang lebih setahun yang lalu program-program parti yang saya telah anjurkan dipenuhi ahli-ahli parti seluruh pelusuk Sabah serta seringkali dihadiri oleh wakil Pejabat Perdana Menteri sendiri.
“Tuduhan yang beliau lakukan ini bukan sahaja memalukan PKR, tetapi tindakan ini juga akan membantutkan gerak kerja parti dalam melakukan persiapan menuju pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.
“Kita harus terus bersatu dalam memfokuskan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat Sabah, bukan terlibat dalam mencetuskan pergolakan dalaman yang hanya membuang masa ramai pihak yang tulus bekerja untuk parti,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sangkar menegaskan bahawa beliau akan terus menunaikan amanah yang diberikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penuh tanggungjawab dan integriti.
“Oleh itu, saya tidak akan berganjak dari tugas saya untuk memastikan PKR terus berkhidmat untuk kemajuan dan kesejahteraan Sabah.
“Pergolakan dalaman seumpama ini dalam kepimpinan PKR Sabah bukan kali pertama berlaku dan perletakan jawatan kepemimpinan tanpa sebarang isu berkepentingan rakyat tidak akan dapat mengelakkan isu sebegini dari berulang kembali,” ujarnya.
Sementara itu, Sangkar berkata, jentera parti itu kin sedang berada dalam keadaan siap siaga untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Saya komited untuk memastikan kepimpinan saya sebagai Pengerusi MPN bakal meraih penambahan kemenangan kerusi DUN untuk PKR kekal berperanan penting mengemudi Kerajaan negeri.
“Dengan ini, saya menyeru semua pihak agar kita bersama meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi sesetengah pihak untuk kita teruskan bekerjasama demi memperkasakan keutuhan parti ini,” tegasnya lagi.