KOTA KINABALU: Pelaksanaan program Demand Side Management (DSM) oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) dapat membantu mengurangkan beban Grid dan mampu mengelakkan catuan bekalan kepada pengguna elektrik di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Naseer Abdul Wahid berkata, program DSM telah dilaksanakan sebagai mitigasi segera bermula 1 Mac 2024 apabila jidar simpanan telah menurun sehingga di bawah tahap selamat.
“Keperluan DSM telah diaktifkan beberapa kali pada bulan ini berikutan set penjanakuasa di salah satu loji janakuasa telah dihentitugas sementara bagi penyelenggaraan terancang yang tidak dapat ditangguhkan lagi.
“Set penjanakuasa itu akan terus dihentitugas sehingga akhir Mac 2024 dan kejadian seumpama ini dijangka akan terus berulang sehingga penghujung tahun ini yang disebabkan oleh jidar simpanan (reserve margin) yang rendah,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Setakat ini katanya, seramai 19 pengguna kuasa besar telah menyertai program DSM ini dan telah berjaya mengurangkan beban Grid sehingga 18megawatt (MW) ketika diaktifkan.
“ECoS dan Sabah Electric Sdn Bhd (SESB) akan meneruskan usaha untuk mengenalpasti pengguna berpotensi menyertai program ini bagi memberikan kelegaan yang berkesan kepada puncak sistem Grid Sabah.
“Pengguna yang menyertai program ini akan diberi pampasan untuk penggunaan bahan bakar disel sewaktu pengoperasian set penjanakuasa mereka dalam tempoh DSM. Walau bagaimanapun, catuan bekalan masih perlu dilakukan jika pengurangan beban Grid melalui kaedah DSM ini tidak mencukupi,” katanya.
Justeru itu, beliau menggesa semua pengguna untuk menetapkan suhu penghawa dingin pada 24 hingga 26 darjah Celsius.
“Perubahan suhu dari 20 kepada 24 darjah Celsius akan memberikan penjimatan 33 peratus tenaga elektrik.
“Langkah lain yang dapat memberikan kesan ialah, pengguna mengelakkan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi seperti alat pemanas air, ketuhar elektrik, seterika elektrik, cerek elektrik dan lain-laon seumpamanya pada waktu puncak antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, jam 2 hingga 4 petang dan jam 6 hingga 8 malam sewaktu hari bekerja biasa,” katanya.