TAMPARULI: Hampir 10 buah kampung di sini berhadapan dengan masalah bekalan air kritikal ekoran cuaca panas yang berlarutan sejak sebulan lalu.
Seorang penduduk Kampung Bulieng, Linus Lukun, 51, berkata, kemarau berpanjangan itu menyebabkan kawasan sumber bekalan air graviti merosot dan kering kontang.
“Ini menyebabkan kesukaran kepada para penduduk kampung dalam melakukan rutin harian seperti memasak, mandi dan menggunakan tandas.
“Ada yang terpaksa membeli air mineral untuk menampung keperluan. Sebagai orang kampung yang tidak berpendapatan tetap, ini sangat membebankan.
“Saya mohon pihak Pihak Pejabat Daerah Tuaran selaku peneraju Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah ini dapat bertindak mengaktifkan pusat kawalan bencana untuk menyalurkan bantuan bekalan air setiap hari kepada semua yang terjejas,” katanya kepada media di sini pada Ahad lalu.
Seorang penduduk kampung, Wangkod Frank Frederick, 56, turut menyuarakan rintihan terhadap masalah yang sama.
Katanya, lebih membimbangkan anak-anak akan mula bersekolah pada 11 Mac dan masalah bekalan air ini menjadi satu kesulitan untuk persediaan mereka ke sekolah.
“Sebelum ini biasanya anak-anak akan mandi pada awal pagi supaya segar dan selesa sepanjang pembelajaran di sekolah.
“Tetapi kalau tiada air, bukan sahaja badan melekit dan tidak selesa untuk fokus kepada pengajaran di sekolah, malah bekalan air minum untuk dibawa juga sangat terhad dan mungkin tidak ada jika keadaan ini berlarutan tanpa penyelesaian.
“Bagi saya kita pada ketika ini sedang menghadapi satu bencana yang besar. Jangan tunggu sehingga rakyat dan anak-anak terus menderita. Berilah bantuan kepada kami dengan segera. Sekarang bukan sahaja mandi, tapi mau berak pun susah,” katanya.
Seorang penduduk dari kampung Ponopuan, Nurisah Dasim, 60, berkata, keadaan yang sedang dihadapi sangat kritikal dan menyukarkan terutama mereka yang baru bersalin dan mempunyai anak-anak kecil.
“Kita tahu bayi baru lahir memerlukan penjagaan yang rapi terutama dari segi kebersihan. Untuk itu, bekalan air amat diperlukan bagi mereka.
“Sebagai wanita dan seorang ibu, saya memahami akan keperitan yang dihadapi golongan ini. Saya amat merayu agar PKOB membuat operasi, kerana keadaan ini bukanlah kritikal, tetapi sudah menjadi bencana kepada rakyat.
“Kami sangat mengharapkan bantuan lori-lori tangki air setiap hari kerana yang ada sekarang tidak mencukupi dan kami sudah cukup menderita dengan keadaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika dihubungi turut meminta agar PKOB Tuaran dapat diaktifkan segera.
“Sebelum ini saya juga telah beberapa kali menghubungi Pejabat Daerah Tuaran tentang perkara ini.
“Saya difahamkan satu mesyuarat akan diadakan esok bagi membincangkan bencana akibat musim kemarau dan harapan saya agar mesyuarat itu juga membuat keputusan agar PKOB dilancarkan untuk membantu semua penduduk yang terjejas,” katanya yang kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan Parlimen Dewan Rakyat.
Untuk rekod, kampung-kampung yang terlibat dengan masalah bekalan air kritikal di Tamparuli termasuklah Kampung Ponopuon, Kg. Bulieng, Kg. Lontik/Maralamin, Kg. Tengkurangoh, Kg. Ulu Bakut, Kg. Bukit Giling, Kg. Wangkod, Kg. Kapa dan Kg. Gayaratau.