Kota Kinabalu: Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan UMNO serta BN Sabah tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Sebaliknya, beliau menegaskan kerjasama politik akan terus diperkukuh bersama Pakatan Harapan (PH).
Memetik laporan Bernama, Zahid berkata, keputusan itu diambil selepas perbincangan bersama pimpinan UMNO Sabah, termasuk Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Katanya, UMNO mahu mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan ahli dan pengundi dengan menunjukkan komitmen jelas terhadap PH sebagai rakan politik di peringkat pusat.
Zahid turut menjelaskan bahawa walaupun pernah wujud rundingan dengan GRS sebelum ini, namun ia tidak pernah dimuktamadkan.
Sebaliknya, rundingan dengan PH sudah mencapai tahap lebih konkrit, khususnya dalam aspek pembahagian kerusi yang berpotensi dimenangi.
“UMNO dan BN Sabah telah menetapkan pendirian untuk kekal bersama Pakatan Harapan dalam menghadapi PRN17. Rundingan dengan GRS tidak lagi menjadi keutamaan kerana kita tidak mahu menghantar mesej bercampur kepada pengundi,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas UMNO Sabah, semalam.
Zahid turut menegaskan bahawa strategi BN Sabah dan PH akan memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi yang diyakini mampu dimenangi, sekali gus mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
Menurut beliau, kerjasama erat ini penting bagi memastikan kestabilan politik Sabah selepas PRN17 dapat dicapai.
Keputusan tersebut sekaligus merungkai spekulasi mengenai kemungkinan UMNO bekerjasama dengan GRS.
