Semporna: Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 27 tahun selepas disyaki terbabit dalam satu pergaduhan di Pulau Timba-Timba, Semporna yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Jaafar Hakim berkata, pihaknya menerima laporan pada 3 September sekitar jam 7.56 malam daripada seorang lelaki berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pengurus syarikat pelancongan.
“Mangsa mendakwa telah diserang beberapa individu ketika membawa sekumpulan pelancong di pulau berkenaan.
“Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada pertikaian bayaran mendarat atau landing fee,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.
Menurut DSP Jaafar, syarikat yang terlibat dipercayai telah membayar sejumlah bayaran kepada pihak yang mengendalikan aktiviti di pulau itu.
Namun, pengadu kemudian diminta oleh syarikat lain untuk turut membuat bayaran tambahan, menyebabkan pertelingkahan berlaku hingga mencetuskan pergaduhan.
“Kejadian ini telah menimbulkan kebimbangan masyarakat apabila tular di media sosial dan mendapat komen negatif yang boleh menjejaskan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan.
“Polis memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan pelancong,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.
Setakat ini, tiga orang suspek warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, DSP Jaafar menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam atau menjejaskan imej daerah Semporna sebagai kawasan pelancongan yang selamat.
